My dearest followers, thank you very much for supporting me.

Thursday, 2 August 2012

Kenangan Terindah


        Ana! Masuk, dah senja ni.”
Kedengaran Salmah memanggil Farhana yang sedang bermain-main di pondok bersama Ilham.
“Ok, mak. Kejap lagi Ana masuk.” balas Farhana.
“Ala, Ana. Awak dah nak masuk ke? Jomlah main lagi,” pinta Ilham menarik tangan gadis berusia 7 tahun itu.
“Mak kita dah panggil lah, Ham. Kita main esok ya?”
          Ilham dan Farhana pulang ke rumah masing-masing. Meskipun rumah mereka bersebelahan, namun Ilham tetap tidak suka apabila tiba waktu mereka berhenti bermain. Hari semakin larut dan kawasan ladang menjadi gelap. Kuda-kuda sudah dimasukkan ke kandang masing-masing.
         Farhana selesai menunaikan solat Maghrib bersama bapanya, Razak apabila Salmah memanggil emreka untuk makan malam. Salmah sudah menyediakan hidangan makan malam di atas meja.
“Wah! Sedapnya! Ana lapar ni,” ujar Farhana lalu duduk di kerusi meja makan.
“Sebelum makan, baca doa dulu. Faham?” tegur Razak lalu mengetuai bacaan doa makan. Manakala adiknya, Delina pula sudah mengambil seketul ayam goreng dan diletakkan di atas pinggan.
“Delina, doa dulu. Makan sama-sama,” ujar Salmah pula. Delina mengangguk dan tersenyum malu.

             Farhana dan Delina disuruh untuk tidur awal malam itu. Salmah mematikan suis lampu agar dua beradik itu dapat tidur dengan nyenyak. Namun setelah Salmah beredar dari bilik, mereka bangun semula.
“Lina, esok nak main dengan kakak tak?” soal Farhana.
“Tak nak lah! Kakak selalu main dengan Ilham. Lina tak suka dengan budak tu,” balas Delina sambil melihat kakaknya.
“Kenapa? Ilham tu kan baik. Dia baik dengan kakak,”
“Memanglah, tapi Lina tak suka. Kakak tak payah ajak Lina eh,”


                                     **************************************

       Ilham sedang menunggu Farhana di pondok tempat biasa mereka bermain. Sambil menunggu, Ilham melihat kuda-kuda sedang makan. Pondok itu terletak di tengah-tengah ladang berdekatan rumah mereka di ladang.
“Mana Ana?” bisiknya lalu menepuk kayu pondok tersebut. Beberapa minit kemudian, kelihatan Farhana sedang berlari-lari menuju ke pondok. Ilham tersenyum.
“Jom main!” jerit Farhana dari jauh.
         Mereka mengeluarkan barang mainan di atas pondok. Farhana meletakkan sebuah kotak berbentuk segi empat tepat di hadapan Ilham.
“Kotak apa ni?” tanya kanak-kanak lelaki itu.
“Tadi, mak kita bagi kotak ni. Dia kata dah tak guna. Dia suruh buat main,”
“Oh. Ha! Kita tahu nak buat apa,”
        Farhana memerhati apa yang dilakukan oleh Ilham. Ilham membuka kotak itu dan mengambil sekeping kertas kecil yang terletak di dalamnya.
“Awak tulis nama awak dalam ni. Cepat,” pinta Ilham. “Nanti kita tulis pula nama kita,”
      Farhana hanya menurut kata rakannya itu lalu segera menulis namanya di atas kertas tersebut. Begitu juga dengan Ilham.
      Setelah itu, Ilham mengambil pensel dan kertas tadi lalu meletakkannya di dalam kotak tersebut. Ilham turut meletakkan beberapa keping gambar mereka di dalam kotak itu.
“Awak buat apa?” soal Farhana ingin tahu.
“Tengok je lah!” balas Ilham.
      Ilham turut meletakkan baju boneka kecil Farhana dan sebelah kaki robot miliknya sendiri di dalam kotak itu. Kini, kotak itu telah padat.
“Ana, awak kunci kotak tu. Kita nak masuk kejap. Kunci cepat,” pinta Ilham lalu berlari masuk ke dalam rumah. Farhana hanya menurut lagi kata-kata Ilham dengan menugnci kotak itu. Tidak lama kemudian, kelihatan Ilham datang dengan membawa penyekop kecil.
        Ilham meminta Farhana membawa kotak itu bersamanya menuju ke belakang pondok. Ilham mencangkung dan mengorek tanah. Dia mengambil kotak tersebut dan diletakkan di dalam tanah itu. Kemudian, Ilham mengambus tanah itu kembali. Dia turut menekan-nekan agar tanah itu padat. Kotak itu ditanam agak dalam agar sukar dikorek oleh sesiapa pun.
“Kenapa awak tanam?” soal Farhana.
“Saja...Nanti dah besar baru kita korek balik nak?” soal Ilham pula. Farhana hanya mengangguk lalu kembali ke pondok bersama Ilham.
                                      .~.
        Hari semakin lewat tetapi Farhana masih belum tidur. Dia berjalan ke bilik ibu bapanya. Tiba-tiba dia terdengar perbualan mereka.
“Bila kita nak pindah, bang?” kedengaran suara Salmah bertanya kepada Razak.
“Lusa. Esok kemas barang-barang.” balas Razak
“Kita bawa semua ke?”
“Taklah. Kita bawa barang penting saja. Abang tak jual rumah ni. Rumah ni kita datang sebulan sekali saja,”
       Suara Salmah dan Razak tidak kedengaran lagi. Farhana terasa sedih mendengar perbualan itu. Dia segera masuk ke biliknya lalu tidur.

         Pagi keesokkannya, Salmah sedang mengemas pakaiannya. Farhana masuk ke bilik ibunya lalu duduk di samping wanita itu.
“Mak, kita nak pindah ke?”
Salmah terkejut dengan pertanyaan itu namun dia tetap menjawab. “Ya,”
“Kita nak pindah mana, mak?”
“Kuala Lumpur,” jawab Salmah lalu menjawab mengusap kepala gadis itu.
“Kenapa pindah, mak? Kawan Ana semua kat sini. Nanti kat sana Ana tak ada kawan,” rungut Farhana.
“Abah dapat kerja sana. Gaji lebih besar. Jangan risau. Kata abah, setiap bulan kita datang sini.”
         Farhana segera meninggalkan bilik dan menuju ke pondok tempatnya bermain. Kelihatan Ilham sedang duduk sendirian di sana.
“Ana! Kenapa muka awak ‘monyok’ je?” soal Ilham.
“Kita kena pindah, Ilham. Nanti kita tak jumpa awak.”
“Pindah? Mana?”
“Mak cakap kat Kuala Lumpur. Jauh tak?”
“Entah,”
     Mereka duduk bersama di pondok itu. Farhana kelihatan sedih sekali. Ilham hanya melihat rakannya itu. Sesekali dia menepuk-nepuk bahu Farhana.

                                 *************************************
“Kami pergi dulu, ya. Ada masa, kami datang melawat,” ujar Salmah kepada ibu Ilham sebelum berangkat ke Kuala Lumpur.
“Hati-hati, Mah. Jangan lupa kami di sini pula,” balas Jamilah, ibu Ilham.\
“InsyaAllah.” Jawab Salmah sambil melihat Ilham yang sedang duduk di anak tangga rumahnya. “Ilham, belajar pandai-pandai tau. Jaga diri baik-baik.” Salmah menyapa Ilham. Farhana hanya melihat Ilham dari dalam kereta. Bukan hanya Ilham, tetapi kuda-kuda di situ juga turut lemah hari itu. Mungkin kerana pemergian Farhana.
     Setelah bersalaman, Razak dan Salmah memasuki kereta lalu dipandu keluar kawasan ladang dan lenyap dari pandangan. Ilham segera berlari dan duduk sendirian di pondok. Dia benar-benar kehilangan seorang rakan baik.

12 tahun berlalu...
        Razak dan Salmah sudah menunggu di lapangan terbang untuk menanti kepulangan Farhana dari Singapura. Gadis itu telah bersekolah menengah di Singapura. Delina hanya menemani ibu bapanya menjemput kakaknya dari lapangan terbang.
        Setelah setengah jam menunggu, akhirnya kelibat Farhana muncul dalam ramai orang. Farhana melambai-lambai mereka dari jauh.
“Mak, abah. Tu kakak,” ujar Delina sambil melambai Farhana kembali. Farhana menghampiri mereka.
      Salmah segera memeluk anaknya lalu mengucup dahi gadis itu.
“Ana sihat?” soal Salmah. Farhana mengangguk lalu tersenyum.
“Kak, bawa ole-ole tak?” tanya Delina pula.
“Ada, semua dapat ole-ole. Jom balik. Kakak penat ni,” pinta Farhana.
              Setibanya di rumah, Farhana mengeluarkan semua ole-ole  yang dibelinya dari Singapura.
“Yang ni, untuk mak. Ni abah punya. Ha, ni untuk Lina,” Farhana memeberikan ole-ole yang dibelinya kepada ahli keluarganya.
“Terima kasih lah Ana. Pandai Ana pilih untuk mak dan abah,”ucap Salmah.
“Lina pun!” sampuk Delina.
          Farhana masuk ke bilik tidur dan membasuh muka sebelum tidur. Tiba-tiba dia teringat rumahnya di ladang. Dia segera menelefon Jamilah tetapi tidak dapat dihubungi kerana talian di sebelah sana sudah tidak aktif lagi.
“Mungkin dah tukar nombor ke?” bisiknya lalu menuju ke bilik Salmah.
“Mak, Mak Cik Milah dah tukar nombor ke?” soalnya.
“Rasanyalah. Sebab terakhir mak contact dia 2 tahun lepas. Lepas tu, mak terus lost contact dengan dia. Kenapa?”
       Farhana menggeleng dan mengucapkan terima kasih. Dia kembali ke biliknya lalu melelapkan matanya yang sudah mengantuk.
         
                          ****************************************
     Farhana dan keluarganya sedang dalam perjalanan ke Kedah. Mereka akan berkunjung ke rumah ladang milik mereka dulu. Walaupun mereka pernah berjanji untuk berkunjung ke rumah ladang sebulan sekali, namun mereka tidakmampu menunaikan janji itu.
     Razak sangat sibuk dengan pekerjaannya. Farhana pula bersekolah di luar negara. Setelah 12 tahun meninggalkan rumah ladang itu, Salmah dan Razak hanya pernah ke situ lagi 3 tahun sekali.
     Sekarang mereka akan kembali ke rumah ladang untuk melihat rumah itu. Farhana sangat merindukan rumah ladang itu.
Mereka telah pun tiba. Suasana ladang serta-merta di rasai oleh Farhana. Selama di Singapura, dia sangat merindui suasana seperti itu.
“Rumah ni tak berubah, mak. Sama macam dulu lagi.” ujar Farhana yang kagum. “Dah 12 tahun Ana tak datang sini. Rindunya!”
        Rumah ladang masih seperti dulu. Begitu juga dengan suasananya. Yang berbeza hanyalah kawasan kuda sudah lebih besar dan sudah ada banyak pembangunan baru. Farhana benar-benar merindui rumah ladang itu.
      Farhana mengintai ke luiar rumah dan melihat rumah Ilham di sebelah rumahnya sudah uzur. Kelihatan rumah itu seperti sudah lama tidak berpenghuni. Rumput panjang sudah meninggi menutup separuh pintu rumah ladang kosong itu.  Hatinya tiba-tiba merindui rakannya, Ilham.
“Mak, Ana ke pondok ladang kejap ya,”
          Farhana berjalan perlahan menuju ke pondok yang agak usang. Itulah pondok tempat dulu dia dan Ilham bermain bersama. Sesekali dia melihat ke arah rumah Ilham. Ternyata, keluarga Ilham telah berpindah dan semua penduduk di situ tidak mengetahui ke mana mereka pindah. Bahkan mereka tidak pernah kembali ke rumah ladang sebaik berpindah 10 tahun yang lalu.
Farhana mengesat debu-debu yang terdapat pada kayu pondok. Dia mengingat kembali kenangan zaman kanak-kanaknya bersama Ilham yang sering bermain di pondok itu hingga senja. Tiba-tiba dia teringat tentang kotak yang pernah mereka tanam di belakang pondok. Farhana segera menuju ke belakang pondok.
“Mungkin kotak tu masih ada ke ?” bisiknya lalu mengorek tanah menggunakan tangannya. Sudah agak dalam, tetapi masih belum kelihatan apa-apa. Farhana tidak putus asa dan terus mengorek hingga akhirnya jarinya dapat merasakan ada sesuatu objek yang keras tertanam di situ. “Kotak !” desirnya lalu mengeluarkan kotak itu dan kembali pondok.
           Farhana cuba membuka kotak itu tetapi tidak berjaya kerana kotak itu berkunci dan dia sudah kehilangan kotak kunci tersebut.
“Ya Allah! Macam mana nak buka kotak ni?”
         Tiba-tiba matanya terpandang satu besi kecil di tepi pondok. Dia cuba menggunakan besi itu untuk memecahkan mangga kuncinya. Setelah lama mencuba, barulah kotak itu renggang tetapi masih ketat untuk dibuka. Farhana cuba pula menggunakan tangannya untuk menarik penutup kotak agar terbuka. Dia berjaya membuka kotak tersebut.
      Farhana mengeluarkan sekeping kertas yang tertulis namanya dan Ilham. Terdapat juga sebatang pensel. Kemudian, dikeluarkan kaki robot yang sudah pudar warna dan baju boneka yang kecil dari kotak itu.
“Semuanya masih di sini! Ilham tak pernah gali. Mana dia?”
Farhana duduk sendirian membelakangkan pondok itu sambil air mata rindunya jatuh membasahi wajah ayunya. Dia menggenggam semua barang itu. Dia sangat ingin bertemu Ilham.
          “Assalamualaikum,” Tiba-tiba kedengaran dari belakang Farhana, suara orang lelaki memberi salam. Apabila dia menoleh, lelaki itu memakai kemeja biru dan berseluar hitam berserta tali leher yang terdapat penyepit nama tertulis ‘ENCIK ILHAM’.
                                          TAMAT

2 comments:

  1. agak-agak diorang kahwin tak, macam sweet kalau buat sambungan cinta diorang lepas kahwin...
    LOVE THIS STORY!!!

    ReplyDelete