“Ana! Masuk, dah senja ni.”
Kedengaran Salmah memanggil Farhana
yang sedang bermain-main di pondok bersama Ilham.
“Ok, mak. Kejap lagi Ana masuk.” balas
Farhana.
“Ala, Ana. Awak dah nak masuk ke?
Jomlah main lagi,” pinta Ilham menarik tangan gadis berusia 7 tahun itu.
“Mak kita dah panggil lah, Ham. Kita
main esok ya?”
Ilham dan Farhana pulang ke rumah
masing-masing. Meskipun rumah mereka bersebelahan, namun Ilham tetap tidak suka
apabila tiba waktu mereka berhenti bermain. Hari semakin larut dan kawasan
ladang menjadi gelap. Kuda-kuda sudah dimasukkan ke kandang masing-masing.
Farhana
selesai menunaikan solat Maghrib bersama bapanya, Razak apabila Salmah
memanggil emreka untuk makan malam. Salmah sudah menyediakan hidangan makan
malam di atas meja.
“Wah! Sedapnya! Ana lapar ni,” ujar
Farhana lalu duduk di kerusi meja makan.
“Sebelum makan, baca doa dulu. Faham?”
tegur Razak lalu mengetuai bacaan doa makan. Manakala adiknya, Delina pula
sudah mengambil seketul ayam goreng dan diletakkan di atas pinggan.
“Delina, doa dulu. Makan sama-sama,”
ujar Salmah pula. Delina mengangguk dan tersenyum malu.
Farhana dan Delina disuruh untuk tidur awal malam itu. Salmah
mematikan suis lampu agar dua beradik itu dapat tidur dengan nyenyak. Namun
setelah Salmah beredar dari bilik, mereka bangun semula.
“Lina, esok nak main dengan kakak
tak?” soal Farhana.
“Tak nak lah! Kakak selalu main dengan
Ilham. Lina tak suka dengan budak tu,” balas Delina sambil melihat kakaknya.
“Kenapa? Ilham tu kan baik. Dia baik
dengan kakak,”
“Memanglah, tapi Lina tak suka. Kakak
tak payah ajak Lina eh,”
**************************************
Ilham sedang menunggu Farhana di pondok tempat biasa mereka
bermain. Sambil menunggu, Ilham melihat kuda-kuda sedang makan. Pondok itu
terletak di tengah-tengah ladang berdekatan rumah mereka di ladang.
“Mana Ana?” bisiknya lalu menepuk kayu
pondok tersebut. Beberapa minit kemudian, kelihatan Farhana sedang berlari-lari
menuju ke pondok. Ilham tersenyum.
“Jom main!” jerit Farhana dari jauh.
Mereka mengeluarkan barang mainan di
atas pondok. Farhana meletakkan sebuah kotak berbentuk segi empat tepat di
hadapan Ilham.
“Kotak apa ni?” tanya kanak-kanak
lelaki itu.
“Tadi, mak kita bagi kotak ni. Dia
kata dah tak guna. Dia suruh buat main,”
“Oh. Ha! Kita tahu nak buat apa,”
Farhana memerhati apa yang dilakukan oleh Ilham. Ilham membuka kotak itu
dan mengambil sekeping kertas kecil yang terletak di dalamnya.
“Awak tulis nama awak dalam ni.
Cepat,” pinta Ilham. “Nanti kita tulis pula nama kita,”
Farhana hanya menurut kata rakannya itu lalu segera menulis namanya di
atas kertas tersebut. Begitu juga dengan Ilham.
Setelah itu, Ilham mengambil pensel dan kertas tadi lalu meletakkannya
di dalam kotak tersebut. Ilham turut meletakkan beberapa keping gambar mereka
di dalam kotak itu.
“Awak buat apa?” soal Farhana ingin
tahu.
“Tengok je lah!” balas Ilham.
Ilham turut meletakkan baju boneka kecil Farhana dan sebelah kaki robot
miliknya sendiri di dalam kotak itu. Kini, kotak itu telah padat.
“Ana, awak kunci kotak tu. Kita nak masuk
kejap. Kunci cepat,” pinta Ilham lalu berlari masuk ke dalam rumah. Farhana
hanya menurut lagi kata-kata Ilham dengan menugnci kotak itu. Tidak lama
kemudian, kelihatan Ilham datang dengan membawa penyekop kecil.
Ilham meminta Farhana membawa kotak itu bersamanya menuju ke belakang
pondok. Ilham mencangkung dan mengorek tanah. Dia mengambil kotak tersebut dan
diletakkan di dalam tanah itu. Kemudian, Ilham mengambus tanah itu kembali. Dia
turut menekan-nekan agar tanah itu padat. Kotak itu ditanam agak dalam agar
sukar dikorek oleh sesiapa pun.
“Kenapa awak tanam?” soal Farhana.
“Saja...Nanti dah besar baru kita
korek balik nak?” soal Ilham pula. Farhana hanya mengangguk lalu kembali ke
pondok bersama Ilham.
.~.
Hari semakin lewat tetapi
Farhana masih belum tidur. Dia berjalan ke bilik ibu bapanya. Tiba-tiba dia
terdengar perbualan mereka.
“Bila kita nak pindah, bang?”
kedengaran suara Salmah bertanya kepada Razak.
“Lusa. Esok kemas barang-barang.”
balas Razak
“Kita bawa semua ke?”
“Taklah. Kita bawa barang penting
saja. Abang tak jual rumah ni. Rumah ni kita datang sebulan sekali saja,”
Suara Salmah dan Razak tidak kedengaran lagi. Farhana terasa sedih
mendengar perbualan itu. Dia segera masuk ke biliknya lalu tidur.
Pagi keesokkannya, Salmah sedang mengemas pakaiannya. Farhana
masuk ke bilik ibunya lalu duduk di samping wanita itu.
“Mak, kita nak pindah ke?”
Salmah terkejut dengan pertanyaan itu
namun dia tetap menjawab. “Ya,”
“Kita nak pindah mana, mak?”
“Kuala Lumpur,” jawab Salmah lalu
menjawab mengusap kepala gadis itu.
“Kenapa pindah, mak? Kawan Ana semua
kat sini. Nanti kat sana Ana tak ada kawan,” rungut Farhana.
“Abah dapat kerja sana. Gaji lebih
besar. Jangan risau. Kata abah, setiap bulan kita datang sini.”
Farhana segera meninggalkan bilik dan
menuju ke pondok tempatnya bermain. Kelihatan Ilham sedang duduk sendirian di
sana.
“Ana! Kenapa muka awak ‘monyok’ je?”
soal Ilham.
“Kita kena pindah, Ilham. Nanti kita
tak jumpa awak.”
“Pindah? Mana?”
“Mak cakap kat Kuala Lumpur. Jauh
tak?”
“Entah,”
Mereka duduk bersama di pondok itu. Farhana kelihatan sedih sekali.
Ilham hanya melihat rakannya itu. Sesekali dia menepuk-nepuk bahu Farhana.
*************************************
“Kami pergi dulu, ya. Ada masa, kami
datang melawat,” ujar Salmah kepada ibu Ilham sebelum berangkat ke Kuala
Lumpur.
“Hati-hati, Mah. Jangan lupa kami di
sini pula,” balas Jamilah, ibu Ilham.\
“InsyaAllah.” Jawab Salmah sambil
melihat Ilham yang sedang duduk di anak tangga rumahnya. “Ilham, belajar
pandai-pandai tau. Jaga diri baik-baik.” Salmah menyapa Ilham. Farhana hanya
melihat Ilham dari dalam kereta. Bukan hanya Ilham, tetapi kuda-kuda di situ
juga turut lemah hari itu. Mungkin kerana pemergian Farhana.
Setelah bersalaman, Razak dan Salmah memasuki kereta lalu dipandu keluar
kawasan ladang dan lenyap dari pandangan. Ilham segera berlari dan duduk
sendirian di pondok. Dia benar-benar kehilangan seorang rakan baik.
12 tahun berlalu...
Razak dan Salmah sudah
menunggu di lapangan terbang untuk menanti kepulangan Farhana dari Singapura.
Gadis itu telah bersekolah menengah di Singapura. Delina hanya menemani ibu
bapanya menjemput kakaknya dari lapangan terbang.
Setelah setengah jam menunggu, akhirnya kelibat Farhana muncul dalam
ramai orang. Farhana melambai-lambai mereka dari jauh.
“Mak, abah. Tu kakak,” ujar Delina
sambil melambai Farhana kembali. Farhana menghampiri mereka.
Salmah segera memeluk anaknya lalu mengucup dahi gadis itu.
“Ana sihat?” soal Salmah. Farhana
mengangguk lalu tersenyum.
“Kak, bawa ole-ole tak?” tanya Delina
pula.
“Ada, semua dapat ole-ole. Jom balik.
Kakak penat ni,” pinta Farhana.
Setibanya di rumah, Farhana
mengeluarkan semua ole-ole yang
dibelinya dari Singapura.
“Yang ni, untuk mak. Ni abah punya.
Ha, ni untuk Lina,” Farhana memeberikan ole-ole yang dibelinya kepada ahli
keluarganya.
“Terima kasih lah Ana. Pandai Ana
pilih untuk mak dan abah,”ucap Salmah.
“Lina pun!” sampuk Delina.
Farhana masuk ke bilik tidur dan
membasuh muka sebelum tidur. Tiba-tiba dia teringat rumahnya di ladang. Dia
segera menelefon Jamilah tetapi tidak dapat dihubungi kerana talian di sebelah
sana sudah tidak aktif lagi.
“Mungkin dah tukar nombor ke?”
bisiknya lalu menuju ke bilik Salmah.
“Mak, Mak Cik Milah dah tukar nombor
ke?” soalnya.
“Rasanyalah. Sebab terakhir mak contact dia 2 tahun lepas. Lepas tu, mak
terus lost contact dengan dia.
Kenapa?”
Farhana menggeleng dan mengucapkan terima kasih. Dia kembali ke biliknya
lalu melelapkan matanya yang sudah mengantuk.
****************************************
Farhana dan keluarganya sedang dalam perjalanan ke Kedah. Mereka akan
berkunjung ke rumah ladang milik mereka dulu. Walaupun mereka pernah berjanji
untuk berkunjung ke rumah ladang sebulan sekali, namun mereka tidakmampu
menunaikan janji itu.
Razak sangat sibuk dengan pekerjaannya. Farhana pula bersekolah di luar
negara. Setelah 12 tahun meninggalkan rumah ladang itu, Salmah dan Razak hanya
pernah ke situ lagi 3 tahun sekali.
Sekarang mereka akan kembali ke rumah ladang untuk melihat rumah itu.
Farhana sangat merindukan rumah ladang itu.
Mereka
telah pun tiba. Suasana ladang serta-merta di rasai oleh Farhana. Selama di
Singapura, dia sangat merindui suasana seperti itu.
“Rumah ni tak berubah, mak. Sama macam
dulu lagi.” ujar Farhana yang kagum. “Dah 12 tahun Ana tak datang sini.
Rindunya!”
Rumah ladang masih seperti dulu. Begitu juga dengan suasananya. Yang
berbeza hanyalah kawasan kuda sudah lebih besar dan sudah ada banyak pembangunan
baru. Farhana benar-benar merindui rumah ladang itu.
Farhana mengintai ke luiar rumah dan melihat rumah Ilham di sebelah
rumahnya sudah uzur. Kelihatan rumah itu seperti sudah lama tidak berpenghuni.
Rumput panjang sudah meninggi menutup separuh pintu rumah ladang kosong itu. Hatinya tiba-tiba merindui rakannya, Ilham.
“Mak, Ana ke pondok ladang kejap ya,”
Farhana berjalan perlahan menuju ke
pondok yang agak usang. Itulah pondok tempat dulu dia dan Ilham bermain
bersama. Sesekali dia melihat ke arah rumah Ilham. Ternyata, keluarga Ilham
telah berpindah dan semua penduduk di situ tidak mengetahui ke mana mereka
pindah. Bahkan mereka tidak pernah kembali ke rumah ladang sebaik berpindah 10
tahun yang lalu.
Farhana mengesat debu-debu yang
terdapat pada kayu pondok. Dia mengingat kembali kenangan zaman kanak-kanaknya
bersama Ilham yang sering bermain di pondok itu hingga senja. Tiba-tiba dia
teringat tentang kotak yang pernah mereka tanam di belakang pondok. Farhana
segera menuju ke belakang pondok.
“Mungkin kotak tu masih ada ke ?”
bisiknya lalu mengorek tanah menggunakan tangannya. Sudah agak dalam, tetapi
masih belum kelihatan apa-apa. Farhana tidak putus asa dan terus mengorek
hingga akhirnya jarinya dapat merasakan ada sesuatu objek yang keras tertanam
di situ. “Kotak !” desirnya lalu mengeluarkan kotak itu dan kembali pondok.
Farhana cuba membuka kotak itu
tetapi tidak berjaya kerana kotak itu berkunci dan dia sudah kehilangan kotak
kunci tersebut.
“Ya Allah! Macam mana nak buka kotak
ni?”
Tiba-tiba matanya terpandang satu besi
kecil di tepi pondok. Dia cuba menggunakan besi itu untuk memecahkan mangga
kuncinya. Setelah lama mencuba, barulah kotak itu renggang tetapi masih ketat
untuk dibuka. Farhana cuba pula menggunakan tangannya untuk menarik penutup
kotak agar terbuka. Dia berjaya membuka kotak tersebut.
Farhana mengeluarkan sekeping kertas yang tertulis namanya dan Ilham. Terdapat
juga sebatang pensel. Kemudian, dikeluarkan kaki robot yang sudah pudar warna
dan baju boneka yang kecil dari kotak itu.
“Semuanya masih di sini! Ilham tak
pernah gali. Mana dia?”
Farhana duduk sendirian membelakangkan
pondok itu sambil air mata rindunya jatuh membasahi wajah ayunya. Dia
menggenggam semua barang itu. Dia sangat ingin bertemu Ilham.
“Assalamualaikum,” Tiba-tiba
kedengaran dari belakang Farhana, suara orang lelaki memberi salam. Apabila dia
menoleh, lelaki itu memakai kemeja biru dan berseluar hitam berserta tali leher
yang terdapat penyepit nama tertulis ‘ENCIK ILHAM’.
TAMAT









