My dearest followers, thank you very much for supporting me.

Sunday, 28 April 2013

Bukan Milikku

post signatureKarmila, gadis ayu berkulit kuning langsat itu sedang diperhatikan oleh Haris yang sedang menyedut minumannya.
“Amir, siapa perempuan itu?” soal Haris kepada rakan di sebelahnya, Amir sambil matanya masih melihat gadis bertudung labuh itu. Amir tersenyum.
“Itulah Ustazah Karmila. Guru mengaji di kelas Ustazah Halimah. Kenapa? Cantik kan?” balas Amir lalu memandang Haris dengan pandangan mengusik. Haris serba salah.
“Semua ciptaan ALLAH tu kan cantik,” ringkas balasan anak ketua kampung itu yang baru saja pulang dari Mesir.
“Betul tu! Karmila tu lah awek aku,”
Kata-kata Amir mengejutkan Haris. Amir sekadar ketawa apabila Haris tersedak. Suka benar dia mengusik rakannya itu. Tapi hakikatnya, Amir memang menyimpan perasaan terhadap Karmila.
“Kau suka dia ke?” sambung Amir. Haris memandang rakannya itu seraya menggeleng walaupun sebenarnya dia mula suka dengan Karmila yang sama sekali tidak dikenalinya.

                                              ~~~~~~~~~~~~~

Haris menghampiri sebuah rumah tempat biasa Ustaz Halimah mengajar mengaji. Dia melihat kalau-kalau ada gadis bernama Karmila itu. Sedang Haris terjengah-jengah ke dalam rumah, seorang wanita menegurnya.
“Haris ke ni?” soal Ustazah Halimah yang muncul dari belakang. Haris menoleh.
“Ya, saya ni. Ustazah apa khabar?”
“Alhamdulillah, sihat. Bila kamu balik Malaysia? Abah kamu kata kamu balik lusa kan?”
“Sepatutnya lusa, tapi saya balik awal sebab dah tak ada urusan lagi. Rindu sangat kat kampung. Itu yang Haris nak balik cepat-cepat.”
“Alhamdulillah, ingat juga kamu pada kampung halaman. Buat apa kat sini? Nak tengok budak-budak mengaji?”
Perbualan mereka terhenti apabila Haris melihat kelibat Karmila keluar dari rumah tersebut bersama pelajar mengaji. Nampaknya kelas mengaji sudah selesai.
“Baiklah, ustazah. Budak-budak pun dah siap. Rasanya baik saya mintak diri dulu.”
“Ha yalah. Ustazah pun masuk dulu ya.”
Haris segera menuju ke arah Karmila yang sedang berjalan menuju ke kereta milik gadis itu. Tiba-tiba Karmila terpelecok. Nasibnya baik, Haris segera menyambut Karmila.
“Astaghfirullah!”
Karmila terus melepaskan Haris. Dia membetulkan tudungnya yang sudah tidak kemas.
“Maaf, saya cuma bantu. Tadi awak nak jatuh,” ujar Haris supaya niatnya tidak disalah anggap.
“Terima kasih. Maaf menyusahkan encik,” balas Karmila. Dia kembali ke keretanya.
“Sekejap!”
Karmila menoleh lagi. Kali ini Haris tersenyum. Gembira hatinya hendak berkenalan dengan Karmila. Dengan perlahan dia menghampiri Karmila.
“Ustazah Karmila?” ujar Haris sambil tersenyum. Karmila mengerutkan dahi. Dia tidak mengenali lelaki di hadapannya itu. “Err, lupa nak kenalkan diri. Nama saya Haris. Anak Pak Osman,” sambung Haris apabila Karmila tidak menjawab.
“Oh, anak ketua kampung yang baru balik dari Jordan.”
“Mesir...” balas Haris yang membetulkan kesalahan Karmila.
“Maaf. Mesir. Assalamualaikum,” balas Karmila sebagai tanda perkenalan mereka.
“Waalaikumsalam. Selamat berkenalan, Ustazah Karmila.”
Karmila hanya tersenyum. Bukan saja Haris yang gembira berkenalan dengan Karmila, malah gadis itu juga senang dengan perkenalan itu.
Tidak lama kemudian, Karmila meminta diri untuk pulang memandangkan hari sudah hampir senja. Setibanya di rumah, Karmila disapa oleh ibunya, Hajar.
“Macam mana kelas hari ni, Mila?” soal Hajar yang sedang duduk menjahit pakaian.
“Alhamdulillah ok, umi. Mila masuk bilik dulu ya.”
Karmila merebahkan diri di atas katil. Entah kenapa baru saja berkenalan dengan Haris, hatinya sudah terpaut. Tetapi dia cuba menolak perasaan itu kerana dia belum betul-betul  mengenali Haris. Gadis itu mencapai bantal dan memeluknya. Senyuman girang masih terserlah di bibirnya.
Wajah kacak dan keindahan budi bahasa lelaki itu mengusik mindanya. Melihat lelaki itu merupakan satu anugerah dari ALLAH untuknya. Karmila tersenyum sendiri.

~~~~~~~~~~~~~~~~~

Meskipun tinggal di kawasan kampung, tetapi rumah Pak Osman sudah diubahsuai dan dibatukan. Tidak lagi kayu seperti rumah kampung lain.
Pintu rumah itu dibuka perlahan. Sarah , adik kepada Haris baru pulang pada jam satu pagi. Haris sudah lama ingin menegur kelakuan adiknya yang sering pulang lewat ke rumah dan berfoya-foya tetapi sering dihalang oleh ibunya kerana wanita itu tidak ingin hubungan abang dan adik itu menjadi dingin.
Meskipun adik dan abang, mereka berdua memiliki sifat yang berbeza. Pak Osman sendiri sudah berkali-kali memarahi Sarah, tetapi gadis itu masih enggan mendengar kata.
“Kenapa balik?” sergah Haris yang sedang duduk dalam kegelapan di ruang tamu. Sarah terus menuju ke suis lampu dan menghidupkan lampu.
“Rumah ni rumah Sarah jugak. Suka hatilah nak balik ke tak.”
“Ingatkan dah tak tahu rumah. Tak reti nak tengok jam pukul berapa sekarang?” tambah Haris. Tapi kali ini dia berdiri menghadap Sarah yang keras kepala itu.
“Abang tahu tak, selama abang dekat Mesir rumah ni aman, tenteram. Tak ada sesiapa bising Sarah balik bila! Sejak abang balik, rumah ni kecoh, bingitlah!”
“Sebab tu selama abang tak ada, Sarah makin menjadi-jadi. Kalau abah dan mak tegur, Sarah tak jalan. Biar abang aje yang cakap.”
“Dah tu, kalau abang yang cakap ingat Sarah nak dengar! Dahlah, Sarah ngantuk. Tidur lagi bagus dari dengar bunyi anjing menyalak!”
Kata-kata Sarah bisa menusuk ke telinga Haris. Entah bagaimana lagi dia hendak mengawal kelakuan adiknya itu.

Keesokannya, pagi-pagi lagi Sarah sudah bersiap untuk keluar. Itulah rutinnya. Disuruh ke kolej, dia menolak. Disuruh duduk di rumah, juga enggan. Aktivitinya hanyalah lepak bersama teman-teman. Bercampur antara lelaki dan perempuan tanpa batas. Pernah sekali gadis itu ditangkap basah bersama kekasihnya ketika sedang berdua-duan di tempat sunyi.
Haris dan keluarganya sedang duduk bersarapan di meja makan. Melihat Sarah, Haris terus menegur.
“Tak sarapan dulu?”
“Tak seleralah nak makan satu meja dengan orang alim ni,” balas Sarah dan terus menuju ke pintu tanpa berjumpa dahulu dengan ibu bapanya. Haris segera meminta diri dari ibu bapanya dan terus menyusul Sarah ke muka pintu rumah.
“Jangan biadab boleh tak, Sarah? Sebelum keluar boleh tak minta izin mak abah dulu. Salam cium tangan diaorang. Apa masalah Sarah ni? Apasal liar sangat?” bentak Haris perlahan, seperti berbisik yang hanya boleh didengari Sarah. Dia enggan ibu bapanya mendengar. Mereka mungkin akan sedih.
“Sarah tahu, abang tu baik. Tapi tak payah nak menunjuk sangat depan mak abah. Meluat sangat!” balas Sarah yang mengejek abangnya.
Sarah terus meninggalkan rumah. Haris kecewa dengan sikap adiknya yang keterlaluan. Dia buntu, apalagi cara untuk menjadikan adiknya orang yang berguna.

                                            ~~~~~~~~~~~~~~~

Azan  Maghrib berkumandang. Malam  ini Haris diminta untuk mengimamkan jemaah di masjid kampung. Jemaah berdiri dan memulakan solat Maghrib.
Dia sangat disanjung oleh orang kampung kerana satu-satunya anak  lelaki jati kampung itu yang berjaya ke menara gading tanah arab. Jika anak gadis pula, Karmila lah yang berjaya melanjutkan pengajian ke Jordan.
Setelah selesai solat, Haris diminta memberi ceramah ringkas sementara menunggu masuknya waktu Isyak. Tanpa disangka, Karmila turut berjemaah di masjid malam ini. Semasa memberi ceramah, tirai pemisah tempat solat dibuka dan pada masa itulah Haris ternampak Karmila yang ayu bertelekung putih suci. Sejuk matanya memandang gadis muslim seperti Karmila.
Setelah solat Isyak dilaksanakan, semua jemaah pulang. Karmila melangkah keluar dari masjid dan menuju ke rak kasut. Sarung kaki sudah sedia dipakai dari dalam masjid lagi.
“Assalamualaikum,” ucap Haris yang muncul dari beranda masjid. Karmila menoleh lantas tersenyum. Mata mereka bertentangan dan masing-masing berdebar-debar. Karmila menjawab salam. “Waalaikumsalam.”
“Balik naik apa ni?” soal Haris.
“Jalan kaki. Kereta rosak, petang tadi baru hantar ke workshop.”
“Baiklah, kalau tak keberatan saya temankan awak balik. Tapi kalau keberatan, it’s ok.”
Akhirnya, Karmila bersetuju pulang bersama Haris. Sepanjang perjalanan, mereka berjalan sejarak dua depa dari sisi. Tidak mahu menimbulkan fitnah. Mereka berkongsi cerita tentang pengalaman masing-masing ketika di luar negara.
“Ada sekali tu, masa nak ke kampus ada ribut pasir melanda. Apalagi, kami ambil kesempatan tu untuk ponteng kelas hari tu. Esoknya kami datang dengan niat nak bagi alasan sebelum kena marah pensyarah. Sekali... pensyarah tu pun tak hadir jugak. Sama-sama ponteng.”
Haris bercerita seperti sudah lama berkenalan dengan Karmila.
                                              
                                              ~~~~~~~~~~~~~

Pintu bilik ditutup. Karmila menanggalkan tudung labuhnya dan disidai di birai katil. Bayangan Haris masih bermain di mindanya. Perbualannya dan Haris benar-benar mengusik jiwanya. Suara lelaki itu membuatnya kagum.
“Mila?”
Pintu bilik dibuka perlahan. Hajar muncul. Tersenyum melihat anaknya sudah dewasa dan menjadi anak yang baik.
“Ya, umi?”
“Ada perkara mak nak cakap sikit. Mak harap Mila terima ya, nak.”
Tertanya-tanya dibuatnya. Karmila bingung melihat air muka Hajar. Terus didakap ibunya itu. “Apa umi nak cakap?”
“Mila dah besar. Dah habis belajar pun. Tapi...” kata-kata Hajar dihentikan. Sayu melihat wajah murni anak tunggalnya itu.
“Tapi apa umi?”
“Tapi Mila anak dara. Susah payah umi dan abah besarkan Mila untuk jadi macam sekarang ni. Umi rasa nak tiba masanya umi serahkan Mila pada orang lain,”
Karmila yang tersenyum kini hambar. Dia faham benar maksud kata-kata ibunya walaupun cuba berkias. “Maksud umi... suami?” balas Karmila sambil tersenyum hampa. Hajar mengangguk dengan harapan Karmila bersetuju.
“Umi cuma nak Mila hidup dengan suami. Umi rasa ini dah tiba masa untuk...”
Karmila terus memintas kata-kata Hajar. “Mila ikut aje. Apa yang terbaik pada umi, mesti terbaik untuk Mila. Mila tahu umi sayang Mila sebab tu umi nak semua ni. Mila ikut cakap umi. Umi jangan risau ya.”
Karmila sememangnya anak yang baik. Dia sama sekali tidak menolak kehendak ibnya meski hatinya berat untuk memulakan kehidupan baru sebagai isteri. Hajar mengucup dahi anaknya. Jauh di sudut hati kecil wanita itu, dia enggan melepaskan anak daranya. Namun, seorang perempuan perlu menjalani kehidupan sebagai isteri. Dan dia perlu menyerahkan anaknya pada orang yang bakal bergelar suami kepada Karmila.

2 minggu kemudian...

Hari pertunangan sudah tiba tetapi gerangan bakal tunang masih belum diketahui. Hajar sengaja merahsiakan daripada pengetahuan Karmila supaya anaknya tidak kecewa jika dia tidak menyukai lelaki itu.
“Siapa lelaki tu, kak?” soal Karmila kepada jirannya Kak Tiya.
“Akak pun tak tahu. Cik Hajar tak bagitahu akak. Mungkin dia tahu mesti Mila akan tanya kat akak kot.”
Selang beberapa minit kemudian, rombongan peminangan sudah tiba. Kak Tiya sekadar membilas tacapan di wajah Karmila. Gadis itu semakin berdebar-debar. Entah kenapa sejak awal lagi, dia berharap Harislah yang akan meminangnya.
Kedengaran bunyi suara orang ramai di ruang tamu. Karmila yang berada di dalam bilik gugup tidak menentu. Bagaimana kalau lelaki yang meminangnya bukan Haris? Bagiamana jika Haris tidak menyukainya seperti mana dia menyukai Haris? Fikirannya buntu. Siapalah gerangan pemuda itu.  
Hajar muncul di muka pintu bersama dua orang  wanita. Dan salah seorang wanita itu memegang bekas cincin di tangannya. Wajah Karmila berubah apabila melihat wanita itu adalah Saleha, ibu Amir. Hancur harapan hatinya. Namun, dia menyambut kedatangan bakal mertuanya dengan senyuman manis yang terpaksa dilahirkan walaupun hatinya sedih.
“Assalamualaikum,” ucap Saleha sebaik melihat Karmila sedang duduk di katil dengan lengkap berpakaian jubah dan bertudung putih. Manis sekali bakal menantunya.
“Waalaikumsalam,” balas Karmila dan Kak Tiya serentak.
Saleha duduk di samping Karmila dan mula menyarung cincin di jari manis gadis itu. Tangan Karmila dingin seperti ais. Saleha tersenyum. Setelah cincin lekat di jari Karmila, wanita itu segera memeluk bakal menantunya. Karmila tersenyum.
“Mak cik harap hubungan ni sampai ke jinjang pelamin. Mak cik bertuah sangat nak dapat menantu macam Karmila. Mulai hari ni panggil mak cik dengan panggilan ‘ibu’. Mak cik nak nanti bila dah nikah, dah selesa dah panggil ibu.”
Karmila mengangguk. Mereka berpelukan sekali lagi. Hajar terus mengiringi Saleha keluar meninggalkan bilik. Kak Tiya menyusuli wanita-wanita itu.

Hari demi hari berlalu, pernikahan antara Amir dan Karmila semakin hampir. Banyak persiapan telah dilakukan. Baju pengantin juga sudah disewa. Kad undangan perkahwinan juga sudah mula diedarkan kepada tetangga dan sanak-saudara.
Sejak bertunang, Karmila menjadi seorang yang jarang senyum dan pendiam. Mungkin  dia masih cuba memujuk hatinya yang luka sendiri.
Dan apa yang menambah sakit di hati ialah pertemuannya dengan Haris ketika gadis itu sedang jalan menuju ke kebun abahnya. Senyuman yang dilempar Haris disambut hambar olehnya.
“Apa khabar ustazah? Sihat?” tegur Haris yang masih tersenyum.
“Alhamdulillah, saya sihat. Awak?”
“Ya, Alhamdulillah. Sihat juga. Tapi kenapa awak nampak muram aje? Are you having a problem?”
Karmila tunduk dan menggeleng. Dia segan apabila Haris sedar perubahan wajahnya. Dia masih cuba tersenyum. Haris pula terus menunggu jawapan gadis itu.
“Orang kata kalau kita berkongsi masalah dengan orang, beban fikiran akan ringan sikit. Itupun kalau orang tu sudilah berkongsi masalah dengan saya,” ujar Haris.
“Saya ok,” balas Karmila sambil tersenyum. Dia tidak mahu kelihatan sedih di hadapan lelaki itu. “Cuma nervous sikit. Yalah, lagi sebulan saya akan berkahwin,” sambung Karmila.
Haris tersentak. Kata-kata Karmila bagaikan satu peluru menembak ke hatinya. Namun, dia berlagak biasa di depan Karmila.
“Oh ya? By the way, tahniah. Siapa lelaki bertuah tu?” soal Haris cuba tenang walaupun hatinya berkecai.
“Amirul. Amirul Hakim.”

                                     ~~~~~~~~~~~~~~~~~

Haris rebah di katil. Air matanya mula mengalir. Fikirannya kosong ketika ini. Rakan baiknya sendiri akan berkahwin dengan Karmila. Berkali-kali dia menumbuk katil.
Pintu bilik diterjah. Sarah muncul. Dengan muka selamba, dia meminta duit dari abangnya tanpa segan silu.
“Orang nak shopping ni. Mintak duit.”
Haris tidak menjawab. Hanya menunding ke arah dompetnya yang berada di atas meja sisi katil. Sarah agak terkejut dengan abangnya. Tidak pernah diberi apa pun yang diminta. Malah adiknya akan dimarahi. Tapi hari ini, Haris sama sekali tidak peduli.
Situasi ini dimanfaatkan. Dia mencapai dompet Haris dan menarik keluar semua wang bernilai RM50. Hanya meninggalkan beberapa helai wang RM1.  Sarah mencampakkan saja dompet itu dan keluar.
“Ya  ALLAH, kuatkan hati aku. Gadis pilihanku akan berkahwin dengan rakan baikku sendiri. Jika perasaan ini salah, ampunkan aku ya ALLAH!” bisik Haris sendiri lalu menekup wajahnya dengan tangan.

Setelah ke kebun, Karmila menemui Amir di sungai. Setiap petang Amir akan berada di situ untuk duduk-duduk. Melihat kehadiran Karmila, Amir pantas berdiri. Dia ingin menjelaskan segalanya.
“Amir nak mintak maaf pada Mila,” ujar Amir sebaik Karmila tiba di hadapannya. “Memang Amir yang bagitahu ibu kalau Amir suka kat Mila. Tapi Amir tak sangka ibu ambil serius perkara ni sampai bertu...”
“ALLAH penentu segalanya. Mungkin ini takdir hidup kita berdua. Amir adalah pasangan Karmila mungkin,”
“Jujur, Amir pun tak menolak bila ibu nak meminang Mila sebab Amir memang sayangkan Mila. Dan Amir ada niat untuk memperisteri Mila. Amir mintak maaf sekali lagi.”
“In Syaa ALLAH, Amir. Mila dah janji pada diri sendiri untuk terima siapa pun suami Mila. Tapi Mila nak jujur dulu sebeklum kita kahwin. Mila tak cintakan Amir. Mila...cintakan orang lain.”
Amir tersenyum. Dia tahu bukan dia pilihan hati Karmila. Amir akur dengan pengakuan bakal isterinya. Lebih baik menjelaskan segalanya sekarang sebelum mereka sah diijabkabulkan.
“Amir faham. Amir berdoa supaya suatu hari Amir akan jadi pilihan Mila walaupun Amir sendiri tak tahu bila.”
“Mila terima Amir seadanya. Kalau Amir memang ditakdirkan jodoh untuk Mila, ALLAH akan teruskan perkahwinan ni. Tapi kalau Amir bukan jodoh Mila, maka ALLAH jugaklah pemisah nanti,” kata-kata Karmila menenangkan perasaan Amir yang serba salah.

“Saya cintakan awak, Karmila. Sangat cintakan awak.”
Berjaya juga Haris meluahkan rasa hatinya terhadap Karmila. Tapi, semua sudah terlambat. Air mata terus membasahi pipi gadis ayu itu. Tidak tertahan sebak di dada mendengar kata-kata indah itu. Namun, dia perlu sedar dia akan bernikah tidak lama lagi.
“Lupakan saja,” balas Karmila lalu mengesat air mata.
“Ya, saya kena lupakan jugak. Walaupun saya tak nak lupakan. Sebab awak bakal isteri orang. Saya cakap ni pun, supaya awak tahu yang saya mencintai awak. Dan saya gembira walaupun tak dapat memiliki awak. Perasaan yang hadir tu tak dapat saya gambarkan. Awak gadis yang saya damba, tapi sayangnya awak bukan milik saya. Awak milik Amir, kawan saya sendiri. Mabruk Alaiki,”
Karmila sedih mendengarkan Haris. Jiwanya seperti ingin mengatakan bahawa dia juga mencintai Haris tetapi... apakan daya. Status menghalang cintanya kini.
“Awak salah. Saya bukan milik sesiapa. Saya milik ALLAH. Jadi biarlah ALLAH yang tentukan siapa pemilik saya di dunia ni. Tapi, boleh saya mintak sesuatu?”
“Apa saja.”
“Saya harap awak boleh jadi saksi untuk perkahwinan saya. Boleh tak... Haris Osman?”
Haris tersenyum tetapi air matanya mengalir. Sama seperti Karmila. Mereka berpisah di situ. Ini adalah pertemuan terakhir mereka sebelum Karmila dinikahkan dengan Amir.

                                  ~~~~~~~~~~~~~~~~

Pagi ini cerah tetapi hati Karmila mendung. Akad nikah telah dilafazkan dan kini Amir dan Karmila sah menjadi suami isteri. Amir menuju ke Karmila. Cincin disarungkan ke jari manis isterinya untuk pembatalan air sembahyang. Haris yang menjadi saksi pernikahan hanya diam dan tidak berkata sepatah pun. Solat sunat nikah dilaksanakan.
Amir mengucup dahi Karmila setelah gadis itu mencium tangan Amir. Amir tersenyum walaupun jauh di sudut hatinya ingin menangis melihat Karmila tidak gembira seperti selalu.
Haris pulang setelah selesai majlis perkahwinan sahabatnya. Memasuki bilik tanpa mempedulikan Sarah yang memerhatinya sejak tadi.
“Ada orang tu berpelajaran tinggi, alim. Tapi suka bini orang. Kesian,” sindir Sarah bisa. Haris menoleh.
“Manusia berhak mencintai sesiapa saja asalkan tidak melebihi batas. Lagipun cinta tak seharusnya memiliki, dik.”
“Cinta tu buta, bang. Sekarang abang boleh cakap, tapi nanti abang takkan sangguip lagi bertahan. Kita ni kan manusia, bang.”
“Betul tu! Sebab tu manusia diberi akal untuk berfikir. Bukan main buat aje tak fikir dulu. Macam Sarah kan!”

Hari demi hari, pernikahan Amir dan Karmila mula bahagia. Karmila sedang menghadiri ceramah Ustazah Halimah di masjid ketika Sarah tiba di rumah Amir petang itu.
“Assalamualaikum Amirul Hakim.”
“Waalaikumsalam,” Haris menoleh. Sarah di belakangnya. “Hai, Sarah. Sihat?”
“Well, sihat aje. Amir, aku ni bukan apalah. Aku cuma nak cakap dengan kau, kau tu orang alim macam Abang Haris. So, why not kau didiklah isteri kau jadi isteri solehah. Jangan curang belakang suami.”
Kata-kata Sarah mengejutkan Amir. Sarah hanya tersenyum sinis setelah menabur fitnah ke atas abangnya sendiri.
“Awak cakap apa ni Sarah? Jangan cuba fitnah Karmila. Saya tak suka.”
“Fitnah? Kau tahu tak, abang aku dah lama sukakan Mila tu. Tiap-tiap malam isteri kau  masih hubungi Abang Haris walaupun korang dah kahwin. Kau apa tahu bila tengah tidur kan.”
“Maksud awak Haris dan Karmila pernah ber...cinta?”
Sarah tersenyum. Puas hatinya dapat melagakan tiga orang itu. Dia ingin membalas rasa sakit hati terhadapa abangnya yang selalu mengokong dirinya. Walaupun pada awalnya Amir cuba menolak kata-kata Sarah tapi sebagai manusia, dia kalah dengan hasutan.

                          ~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Karmila terkejut apabila Haris muncul di hadapan rumahnya. Haris juga agak bingung apabila Amir mengajaknya bertemu di rumah. Amir keluar dari rumah dan melihat Karmila sedang menjemput Haris masuk ke rumah.
“Ada perkara aku nak tanya. Aku harap sebagai kawan yang aku percaya, kau dapat jujur.”
Haris masih tidak mengerti maksud kata-kata Amir. Karmila jugak nampak keliru dengan perubahan suaminya sejak kelmarin. Amir menghela nafas panjang sebelum bertanya.
“Aku cuma nak tahu sejauh apa hubungan kau dengan Karmila, isteri aku? Dari dulu sebelum aku kahwin sampai sekarang aku dah kahwin?”
Haris dan Karmila terkejut. Dari mana Amir mengetahuinya? Wajah Amir nampak tegang walaupun suaranya masih lembut sepert biasa. Tiada tanda-tanda dia akan mengasari rakannya sendiri.
“Aku mintak maaf. Aku sepatutnya cerita benda ni dari awal lagi,” balas Haris. Amir masih tenang.
“Aku maafkan. Now, aku nak dengar apa yang aku sepatutnya dengar dari dulu tu.”
“Sejak kau bagitahu siapa Karmila, aku dah sukakan dia. Dan sejak tu aku cuba dekati dan pikat dia. Tapi kami tak pernah ada hubungan lebih dari kawan. Hubungan aku dan Karmila sama macam hubungan aku dan kau. Hanya kawan. Cuma bezanya, aku cintakan dia,” Haris menerangkan segalanya. Karmila yang cuba bersuara dihalang oleh Haris.
“Abang, sebenarnya...”
“Mila, tak apa. Biar saya jelaskan,” pinta Haris. “Amir, bila aku tahu kau dah bertunang dengan Karmila baru aku cakap pada dia yang aku suka dia. Tapi dia tolak. Dia sedar dia tunang kau.”
“Tapi, korang masih berhubungan di belakang aku sekarang kan?” sergah Amir dengan nada suara yang tegas.
“Tak!” jawab Karmila pantas. Haris dan Amir segera memandang gadis itu. “Sejak hari pertama kita nikah, kami langsung dah tak berhubung. Hari ni kali pertama Mila jumpa balik dan berbual dengan dia lepas kita kahwin,” sambung Karmila. Dia tidak mahu dituduh lagi oleh suaminya sendiri.
“Mila betul, Mir. Aku berani sumpah dengan nama ALLAH, apa yang kau cakap tu tak betul sama sekali. Aku dan Mila dah terpisah sejak perkahwinan korang. Dan masa tu jugak aku terus nekad lupakan perasaan aku pada dia. Sebab kau kawan aku. Percayalah,”
“Aku memang percaya korang. Tapi aku dengar dari mulut orang cakap kau selalu terima phone call dari Mila tiap malam. Aku nak percaya korang sebab tu aku tanya.”
“Ada orang cakap? Siapa?” soal Haris ingin tahu. Karmila juga tegang.
“Biarlah orang tu. Dia fitnah, dia tanggunglah kan. Tapi ada lagi sesuatu aku nak tanya.”
Karmila dan Haris saling berpandangan. Apalagi yang akan disoal oleh Amir.
“Apa lagi, bang?” soal Karmila.
“Abang pasrah. Abang nak Mila fikir betul-betul. Abang bagi pilihan, Mila pilihlah abang atau Haris? Abang janji akan lepaskan dengan baik kalau Mila pilih Haris.”
Haris terkejut. Dia tidak menyangka Amir akan berkata sedemikian.
“Apa kau cakap ni Mir? Jangan merepek!” bentak Haris.
“Abang! Saya nak mengaku sesuatu. Apa yang saya nak cakap ni Haris pun tak tahu. Saya memang cintakan dia,” Haris termangu apabila Karmila bersuara. Dia tidak menyangka ternyata gadis itu juga mencintainya. “Tapi itu dulu. Lepas Mila jadi isteri abang, hati Mila cuma untuk abang. Mila dah buang jauh-jauh cinta Mila pada Haris. Lagipun kami tak pernah bercinta, jadi memang mudah Mila lupakan Haris.”
Akhirnya, Karmila berjaya menetapkan pendirian hatinya. Dia pernah berjanji akan menerima sesiapa pun jodohnya. Dia tetap memilih Amir kerana Amir adalah suaminya. Dan kini dia sangat menyayangi Amir. Tiada lagi ruang di hatinya untuk Haris walaupun Haris lelaki pertama yang cintainya. Namun, dia bertekad untuk menjadikan Amir sebagai cinta terakhirnya sampai ke syurga. Dan dia juga menerima seadanya, takdir hidupnya bukan milik Haris Osman. Tapi milik suaminya, Amirul Hakim.

                                             T A M A T

  

***Mabrur Alaiki à Tahniah (bahasa arab)